Thursday, May 15, 2008

KEGIGIHAN SYAITAN DI MEDAN KEKUFURAN ( 3 )

Syaitan juga dengan mudah sekali masuk bersarang ke dalam lubuk perasaan dan jiwa kebanyakan para seniman, budayawan atau penyair sehingga mereka ini lalai dan hanyut dalam arus kemabukan rasa. Mereka punah dalam lakonan-lakonan drama, nyanyian rakyat, dikir barat, wayang kulit, Malam Seniman, Hari Puisi dan lain-lain ( yang melalaikan daripada mengingati Tuhan ). Mereka suka menyatakan apa-apa yang mereka sendiri tidak kerjakan. Seniman atau penyair seperti ini dianggap oleh Imam Al-Ghazali sebagai wali syaitan. Kesemuanya ini menjuruskan mereka ke dalam kesesatan. Allah S.W.T. berfirman ertinya :

'' Dan penyair-penyair itu diikuti oleh orang-orang yang sesat. Tidakkah kamu melihat bahawasanya mereka mengembara di tiap-tiap lembah dan bahawasanya mereka suka mengatakan apa yang mereka sendiri tidak kerjakan ? ''
( As-Syu'ara : 224-226 )

Kesesatan para sasterawan dan seniman ternyata terbukti apabila mereka memperhambakan diri mereka kepada seni semata-mata. Konsep 'Seni untuk Masyarakat' dan 'Seni untuk Seni' yang mereka dukung itu merupakan konsep yang batil. Profesor A. Hasjmy, seorang sarjana Islam dari Sumatera ketika membentangkan kertas kerjanya dalam Simfosium Darul Iman di Kuala Terengganu pada 9 Disember 1981 menyifatkan bahawa kaum sasterawan yang memegang fahaman seni tersebut sebagai sasterawan munafiq. Sasterawan sebegini lebih mendorong pembaca untuk melakukan kemungkaran. Karya mereka mengandungi kecenderungan ( tendency ) anti-agama.Prof. A. Hasjmy menyatakan bagaimana golongan sasterawan munafiq ini menganut ajaran yang pada hakikat sebenarnya ini adalah bohong. Hal ini kerana karya-karya sastera mereka sebenarnya mengandungi sesuatu tujuan untuk mendorong manusia melawan kebenaran, menentang Allah S.W.T. dan seterusnya mendorong kepada lahirnya masyarakat durjana. Mereka menampilkan lingkaran hidup yang jahat, di mana orang-orangnya bergelumang dengan dosa dan pengarangnya tidak berusaha untuk menyedari lalu menyedarkan bahawa lingkungan hidup sedemikian bertentangan dengan ajaran agama. Sebaliknya, mereka memuja tokoh-tokoh utamanya ( watak utama ) sebagai pahlawan, pembela manusia dan dan pejuang kebebasan hidup secara perseorangan ( tidak terlibat dengan kepentingan agama ).

No comments: