Friday, May 23, 2008

KEGANASAN TAGHUT DI MUKA BUMI ( 8 )

Afghanistan




Negara umat Islam yang pertama diceroboh oleh komunis Rusia menjelang abad ke-15 Hijrah ialah Afghanistan. Umat Islam yang berjumlah kira-kira 17,721,000 ( iaitu 99% daripada jumlah penduduk negara itu ) mengalami penderitaan yang tidak terperi. Erti firman Allah S.W.T. :



'' Dia berkata : '' Sesungguhnya raja-raja apabila memasuki satu negeri, nescaya mereka membinasakannya dan menjadikan penduduknya mulia menjadi hina; dan demikian pulalah yang akan dibuat mereka.''

( Surah An-Naml : 34 )



Rusia mulai menceroboh secara sah pada 31 Disember 1978. Penaklukan ke atas Afghanistan merupakan perbuatan kali keempat Rusia menggunakan kuasa ketenteraan dalam menguasai sesebuah negara asing. Negara yang pertama ialah German Timur pada tahun 1953, kedua ialah Hungary pada tahun 1956 dan ketiga ialah Czechoslovakia pada tahun 1968. Faktor besar yang mendorong Rusia menceroboh Afghanistan adalah kerana kebimbangan kepada kebangkitan kuasa Islam terutamanya Iran yang bersempadan itu menggugat dan mencabar komunisme.
Kebimbangan Rusia pernah diulas oleh majalah Newsweek atas tajuk : 'Moscow Looks South' keluaran bulan April 1979. Rusia khuatir kebangkitan umat Islam di Iran mempengaruhi umat Islam yang berada di dalam negerinya. Beberapa daerah di dalam Rusia seperti Azerbaijan, Turkmenistan, Uzbekistan, Tajikistan, Kirgizistan, Kazakhstan merupakan daerah-daerah yang ramai diduduki umat Islam. Pihak kerajaan komunis bimbang akan 50 juta umat Islam yang tinggal di daerah-daerah tersebut akan mengancam kestabilan politiknya. Jadi, pencerobohan tersebut adalah dihitung dari sudut strategi politik untuk menghadapi arus kebangkitan Islam yang mencabar itu.

Akhbar Pravda melaporkan 30,000 tentera Rusia telah pun berada di negara itu pada tarikh tersebut ( 31 Disember ). Meskipun 36 buah negara umat Islam ( termasuk Algeria, Libya, dan PLO yang berfahaman sosialisme ) mengutuk pencerobohan itu dalam satu persidangan di Islamabad, Pakistan pada 27 Januari 1979 tetapi Rusia meneruskan tindakan ganasnya. Walaupun pejabat kedutaannya diserang , namun Rusia tetap juga berdegil.

Dutanya di Malaysia, B.T. Koulit terpaksa berdepan dengan Angkatan Belia Islam Malaysia ( ABIM ) dan Pertubuhan Kebangsaan Pelajar-pelajar Islam Malaysia ( PKPIM ) yang melahirkan sikap yang jelas dan tegas menentang pencerobohan itu. Satu perhimpunan Perpaduan Islam Anti-Soviet anjuran ABIM berlansung di Masjid Jami', Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 8 Februari dengan kehadiran orang tidak kurang daripada 5000 orang.

Thursday, May 15, 2008

KEGANASAN TAGHUT DI MUKA BUMI ( 7 )

YAMAN SELATAN

Penganut-penganut komunisme terus bekerja gigih dalam menerapkan ideologi tersebut supaya tersebar ke merata tempat lalu bertunjang kukuh dalam pemikiran masyarakat. Negara Islam ulung yang pertama ditelan komunisme ialah Yaman Selatan, iaitu pada tahun 1967 semasa pemerintahan Salem Rubaya Ali ( Kini Yaman Selatan adalah salah satu daripada Republik Yaman ). Negeri itu yang dulunya terkenal dengan nama Hadramaut merupakan salah satu pangkalan kegiatan dakwah Islamiah. Banyak ulama'-ulama' dari Hadramaut datang ke wilayah Asia terutamanya ke kepulauan Melayu. Nama-nama seperti Syed Abdullah al-Qudsi, Syed Osman Shahab, Syed Muhammad bin Ahmad Alaydrus, Syed Husin Algadri dan lain-lain merupakan mubaligh yang banyak sumbangan dalam proses Islamisasi di kepulauan Melayu. Meskipun masyarakat Yaman berdarah Arab, tetapi oleh kerana mereka tidak mengambil berat dalam kegiatan dakwah dan membiarkan kemungkaran bermaharajalela, maka negara itu terdedah kepada Ya'juj dan Ma'juj. Erti sabda Rasulullah S.A.W. :


'' Berkata Zainab binti Jahsy, isteri Rasulullah S.A.W. ; ( Pada suatu hari ) bangunlah Rasulullah S.A.W. dari tidurnya, dan muka baginda merah, lalu baginda mengucapkan ' Tiada Tuhan selain Allah... celakalah bagi bangsa Arab kerana telah dekat keburukan atau kejelekan, kerana telah dibuka hari ini daripada tirai Ya'juj dan Ma'juj seumpama sebesar ini ! ( Lalu baginda menggelangkan empu tangan baginda dengan jari telunjuk baginda ). Kemudian aku ( Zainab ) bertanya : '' Ya Rasulullah, apakah kita akan dibinasakan ( oleh Ya'juj dan Ma'juj ) ? Padahal pada kita masih banyak orang-orang soleh ? Maka jawab baginda : '' Tentu ! Apabila telah banyak kekejian. ''

( Hadis riwayat : Bukhari dan Muslim )

Kini negara itu telah ditelan komunisme. Kemasukan komunisme ke negeri itu menyebabkan kira-kira 95% umat Islam di negara itu terdedah kepada kekejaman. Dengan bantuan Rusia, Yaman Selatan berusaha meluaskan pengaruhnya ke negara-negara Arab sekitar sehinggakan tercetusnya peperangan antara Yaman Utara dengan Yaman Selatan pada bulan September 1972. Kini Yaman Selatan dibanjiri oleh ribuan penasihat komunis Rusia, German Timur dan Cuba. Pembunuhan Lt. Kolonel Husin al-Ghasmi yang berperanan sebagai Presiden Yaman Utara pada tahun 1978 juga adalah rancangan komunis. Atas dasar kerjasama dan persahabatan, Yaman Selatan membenarkan Rusia membina pangkalan tentera di negara itu, iaitu di Fatem dan Baina Jabalain serta pangkalan tentera udara di Annawahi. Pangkalan-pengkalan ini merupakan strategi Rusia untuk mengawal perairan laut Arab. Sidang Liga Arab pada 1 Julai 1978 di Kaherah ( Cairo ) mengecam keras kedatangan Rusia itu. Seluruh Arabia berasakan adanya pisau perpecahan yang bakal menghiris jantung perpaduan Arabia. Demikianlah nasib malang yang menimpa umat Islam di Yaman Selatan.

KEGANASAN TAGHUT DI MUKA BUMI ( 6 )

Segala tindak-tanduk dan kegiatan komunis untuk menghancurkan penentang-penentangnya, termasuk ke atas umat Islam telah digambarkan oleh Isa Yusoff Alptakin, seorang muslim yang mewakili Turkistan di dalam Persidangan Afro-Asia di Bandung, Indonesia pada 1955. Katanya, antara kezaliman yang dilakukan pemerintah komunis adalah dibakar hidup-hidup, dijadikan bahan ujian latihan menembak, dan pelbagai lagi kekejaman yang saya sendiri tidak sanggup catatkan di laman ini. Baymirza Hayit dalam 'Documents of Soviet Rusia's anti-Islamic Policy in Turkistan menyebut bahawa sejak tahun 1928 hingga 1939, ulama' ditangkap atau dibunuh, manakala Al-Quran dibakar.

Keganasan yang sama juga berlaku dalam zaman Revolusi Kebudayaan di China bawah kepimpinan Mao Tze Tong. Mao menulis dalam tahun 1927 bahawa satu revolusi ialah satu kebangkitan, satu tindakan ganas dengan satu kelas menggulingkan kelas yang lain. Sepuluh tahun kemudian ( 1938 ), Mao menjelaskan lagi bahawa kuasa parti komunis tumbuh dari muncung senjata. Prof. Kenneth Scoot Latourette, seorang sarjana sejarah di Universiti Yale menyatakan bahawa dalam masa dua tahun yang pertama komunis memerintah di China, sekurang-kurangnya antara 3 hingga 5 juta orang dibunuh. Kebanyakan orang ditembak beramai-ramai.

Gary Allen dalam bukunya ' Kissinger the Secret Side of the Secretary of State ' menulis bahawa anggaran yang paling rendah sekali tentang angka mangsa kematian sepanjang keganasan ialah 34 hingga 64 juta di negara itu. Angka pembunuhan pada zaman kebangkitan Nazisme menjadi kecil apabila dibandingkan dengan angka pembunuhan pada zaman rejim tirani komunis China itu.Nasib umat Islam di negeri China juga lebih kurang sama dengan nasib umat Islam di Rusia. Islam dibawa masuk ke negeri itu pada tahun 29 Hijrah (651 Masihi ) oleh sahabat nabi Muhammad S.A.W. iaitu Saad bin Abi Waqqas, dan beliau mendirikan masjid Canton sebagai pusat pengajaran Islam. Pada zaman pemerintahan Tai Sung (627-650), umat Islam mendapat layanan yang baik, tetapi pada zaman Dinasti Manchu (1644-1911), umat Islam mulai ditindas. Sebanyak 10 juta umat Islam telah dibunuh menyebabkan selama 300 tahun umat Islam berkurangan sebanyak 30% dan kemuncak penindasan ialah sejak meletusnya Revolusi Kebudayaan 1949. Sehingga kini jumlah umat Islam di negeri China mencapai angka 93,500,000 , iaitu 11% peratus sahaja daripada seluruh penduduk negara tersebut.Apabila komunis berkuasa di negeri China, umat Islam di negeri tersebut ditindas. Pemuda-pemuda daripada keluarga muslim dipaksa menjadi menjadi kader komunis dan masjid-masjid ditutup. Di Peking terdapat 42 masjid, tetapi cuma sebuah sahaja yang dibuka untuk solat iaitu Masjid Tungsze Pailo yang terletak di perkampungan Islam Ox-street, Peking. Itu pun, hanya pada hari Jumaat untuk anggota diplomatik dari negara-negara Islam yang berjumlah lebih kurang 30 orang.Pelajaran agama Islam disekat. Sebagai gantinya, masyarakat diajar Marxisme ataupun ajaran Mao Tze Tung. Kaum muslimin dipaksa memelihara khinzir. Haji Muhammad Ali Cheng Chief yang bertugas sebagai ulama' di tanah besar China ketika bercakap di sebuah Institut Pendidikan Agama di Karachi, Pakistan menyatakan pada bulan Jun 1966 bahawa di negeri China terdapat lebih 40,000 buah masjid tetapi kebanyakannya dijadikan kandang khinzir, restoran, gudang gandum, pejabat parti komunis atau pun tempat penyembelihan khinzir sebagai mana yang terjadi kepada masjid Jami' Peking yang didirikan 1000 tahun lalu pada zaman Dinasti Soong. Menurut 2 orang pemimpin masyarakat Islam di China, iaitu Kholid Cieh dan Salleh soeu yang lari dari tanah besar itu pada zaman 'Pengawal Merah' yang ganas itu bahawa orang-orang Islam dipaksa memakan daging khinzir dan masjid dijadikan panggung wayang serta tempat-tempat pertemuan pemimpin parti komunis. Amalan berkhatan yang biasa diamalkan oleh orang-orang Islam dilarang, manakala perkahwinan campuran sangat digalakkan agar jumlah umat Islam merosot. Semua harta wakaf khusus untuk tujuan perkembangan Islam dirampas oleh rejim komunis.

Oleh kerana ditindas, umat Islam di negara China bangun membela kebenaran dan keadilan. Pemberontakan dilancarkan oleh pemimpin-pemimpin mereka di beberapa wilayah. Pemberontakan di Singkiang dipimpin oleh Ali Khan Ture, di Altai dan Monggol oleh Osman, di barat laut China oleh Ma Ying, di Szechwan oleh Ma Hu Syan. 2 buah organisasi yang berjuang membela nasib umat Islam China iaitu China Islamic Association ( CIA ) DAN China Islamic Institute ( CII ) di bawah pimpinan Ma Chien yang pernah belajar di Universiti al-Azhar, Mesir.

KEGANASAN TAGHUT DI MUKA BUMI ( 5 )

Pada tahun 1941, Kerajaan Rusia mengambil sikap berlembut dengan umat Islam kerana muslihat tertentu. Wakil-wakil umat Islam dibenarkan mengadakan pertemuan dalam kalangan mereka. Pada tahun 1942, satu pertemuan diadakan di Ulfa. Hasil daripada pertemuan itu, maka pada bulan Oktober 1943 diadakan persidangan Islam Asia Tengah di Tashkent dan pada bulan Mei 1944, satu lagi persidangan diadakan di Baku, wilayah Transcaucasus. Dr. Sobri Salamon menyatakan bahawa laporan tentang persidangan ulama' itu merupakan satu alat propaganda yang amat berharga bagi memperkemaskan misi diplomatik Rusia di Timur Tengah. Kerja-kerja propaganda diperluaskan oleh kerajaan Rusia dengan memberi peranan kepada ulama'-ulama' mengambil bahagian sebagai penyambut tetamu rasmi dari negara-negara Islam. Mereka dikirim keluar negeri untuk tujuan propaganda seperti menunaikan haji di Mekah.

Bagaimanapun, tidak ramai ulama'-ulama' yang boleh diperalatkan oleh komunis. Cuma beberapa nama sahaja seperti Zia Al Din Babakhanov dilantik menjadi ketua Pertubuhan Persaudaraan Arab -Rusia pada tahun 1958. Beliau sering dihantar keluar negara seperti ke Syria untuk menyampaikan hadiah Perdamaian Rusia kepada mufti-mufti Syria, ke Stockholm menghadiri persidangan agama seluruh dunia dan ke Mekah serta ke Madinah untuk mengerjakan haji. Masjid Moscow yang dapat menampung 2500 jemaah itu dijadikan alat propaganda Rusia dalam kalangan umat Islam. Imam masjid tersebut membaca khutbah-khutbah yang mengandungi seruan supaya berkerjasama dengan pihak kerajaan komunis. Ulama'-ulama' jahat yang menjadi alat itu menutup sebelah mata daripada melihat penindasan dan kekejaman komunis Rusia ke atas umat Islam di seluruh negara tersebut.

Sebenarnya kekejaman dan keganasan ke atas umat Islam terus berlangsung di negara komunis itu, meskipun propaganda digembar-gemburkan mendakwa kerajaan Rusia mengamalkan kebebasan beragama. Di zaman Khruschev, banyak imam-imam masjid yang tidak berdaftar dengan kerajaan ditangkap lalu dipenjarakan. Di samping melancarkan propaganda secara tidak langsung untuk menghapuskan kepercayaan beragama melalui penciptaan 'masyarakat berteknologi'. Komunis percaya bahawa pencapaian teknologi boleh melupakan manusia kepada agama. Dalam kontek ini juga, kerajaan komunis mengadakan dua persidangan anti-agama pada tahun 1956. Pertama, di Baku dalam wilayah Caucasus dan Transcaucasus dan kedua, di Tashkent dalam asia tengah. Pusat-pusat pengajian yang dapat menjuruskan manusia kepada tidak mempercayai Tuhan ditubuhkan juga misalnya ' House of Atheis ' ditubuhkan di Alma Ata, 'Atheist' di Baku dan ' University of Scientific Atheism ' di Ashkhabad. Institusi-institusi ini berfungsi untuk mempelbagaikan bentuk anti-agama.

KEGANASAN TAGHUT DI MUKA BUMI ( 4 )

Oleh kerana agama telah menjadi musuh utama komunisme, maka Revolusi Bolshevik 1917 telah menekan dan menindas penganut-penganut agama di negara itu. Umat Islam yang telah bertapak di negara-negara Soviet sejak abad ketujuh di wilayah-wilayah seperti Azerbaijan, Uzbekistan, Tajikistan, Turkmenistan dan lain-lain lagi telah menerima tekanan daripada kerajaan komunis. Sesungguhnya, umat Islam yang berjumlah kira-kira 30 juta di negara itu menerima layanan yang sangat buruk.

Pada 23 Januari 1918, pemerintah telah mengeluarkan dekri yang membenarkan agama-agama hidup tetapi tidak boleh digunakan bagi mencampuri urusan pemerintahan dan perkara-perkara politik. Pada bulan Januari 1921, pemerintah melarang agama diajarkan kepada orang-orang yang berumur bawah 18 tahun. Walter Kolarz dalam bukunya ' Religion in the Soviet Union ' menyatakan umat Islam hanya dibenarkan bersembahyang Jumaat dan menubuhkan sebuah majlis syariah di wilayah Daghestan.

Oleh kerana kekuatan umat Islam terletak pada perpaduan, maka kerajaan komunis Rusia menggunakan taktik pecah dan perintah. Dalam memecahbelahkan 40,000 ulama' di Daghestan, komunis mengambil tindakan menyemak semula undang-undang syariah dan kemudiannya melarang akan perlaksanaannya. Pemerintah juga mengambil kuasa pentadbiran pendaftaran kelahiran-mati dan perkahwinan. Kemudian, perang saraf anti-agama dilancarkan secara besar-besaran, di mana buku-buku dan risalah-risalah kecil yang menghina para ulama' Islam disebarkan meluas. Majalah ' De Goddeloze ' dan ' De Atheist ' adalah antara bahan bacaan yang memburuk-burukkan Islam. Pada tahun 1952, sebuah majalah tentang sains dan agama diterbitkan dalam bahasa Tatar untuk menghasut masyarakat supaya merendah-rendahkan perbuatan ulama'.

Operasi anti-agama mulai berjalan hebat sekitar tahun 1928 dan 1933, di mana sebanyak 7000 buah masjid di wilayah Tatar dan 500 di wilayah Caucasus utara diperintah supaya ditutup. Harta wakaf dan kewangan badan-badan Islam dirampas untuk kegunaan perjalanan revolusi. Menurut majalah ' Reviec du Monde Musulman ' yang diterbitkan di Paris pada tahun 1924 menyebut bahawa masjid-masjid di seluruh Soviet Union yang berjumlah lebih 35,000 telah dimusnahkan. Masjid-masjid yang tidak dimusnahkan dijadikan kelab-kelab belia atau gudang. Menara Masjid Samarkand yang besar dirobohkan lalu diganti dengan patung Lenin.

Oleh kerana pusat-pusat pendidikan Islam berfungsi membentuk keimanan sekaligus menolak fahaman tidak bertuhan, maka kerajaan Rusia mengambil tindakan menutup 595 buah madrasah pada 1927. Cuma 2 buah sekolah arab sahaja dikekalkan iaitu Madrasah Mir-I-Arab di Bukhara dan Madrasah Barak Khan di Tashkent untuk dijadikan pameran bagi mengabui mata pelawat-pelawat dari negara Islam. Pelajar-pelajar lepasan kedua-dua madrasah itu dijadikan alat propaganda di negara-negara Arab. Madrasah itu juga dijadikan tempat mengajar fahaman yang membawa manusia menjadi atheis.

KEGANASAN TAGHUT DI MUKA BUMI ( 3 )

Setakat manakah perjuangan pemimpin-pemimpin komunis untuk membentuk masyarakat tanpa kelas itu sudah menjadi kenyataan? Atau hanya sekadar slogan kosong dan propaganda murahan untuk menipu rakyat?

Sesungguhnya sejarah telah pun menjawabnya. Ketua Bureau Time di Moscow, Marsh Clark melaporkan bahawa pembesar-pembesar dan pemimpin parti komunis mendapat kedudukan yang istimewa dalam banyak hal jika dibandingkan dengan rakyat. Makanan pembesar-pembesar negeri kebanyakannya diimport khusus dari luar negeri. Misalnya di jalan Granocsky di Kremlin, terdapat sebuah emporium tanpa tingkap yang membekalkan daging, buah-buahan, sayur-sayuran dan bahan-bahan lazat yang diimport untuk shishki ( orang besar ) sahaja, sedangkan rakyat biasa tidak dapat menikmati semua ini. Apabila orang besar sakit, mereka dirawat di poliklinik Kremlin untuk rawatan yang jauh lebih istimewa daripada rakyat biasa.Di Romania, pegawai-pegawai kanan dan pemimpin parti komunis mempunyai rumah besar, dan anak-anak mereka dihantar belajar di sekolah-sekolah khusus, sedangkan rakyat biasa tidak dapat menikmati semua ini. Di German Timur, lalu lintas jalan raya akan dihentikan oleh polis apabila kereta-kereta besar yang membawa pemimpin-pemimpin parti melintasinya. Di China pun sama. Selepas kemenangan Mao Tze Tong pada tahun 1949, pemimpin parti komunis terus berpindah ke villa-villa yang dirampas daripada golongan kapitalis. Balu Mao iaitu Chiang Ch'ing mempunyai dua buah villa di istana musim panas di Peking.

Pemimpin komunis hanya mampu menjanjikan keunggulan Marxisme tetapi mereka sebenarnya hanya berdrama dengan rakyat. Dr. Sobri Salamon dalam bukunya ' Marxisme : Pengenalan dan Penilaian Falsafah Sejarah ' menjelaskan bahawa sistem kerajaan komunis bukan mengamalkan sistem persamaan dan pemilikan bersama tetapi menjadi sistem penindasan yang amat berkesan. Tidak ada sebuah kerajaan di dunia ini yang mengamalkan buruh hamba ( slave labour ) kecuali kerajaan komunis.Sesungguhnya tindak tanduk komunisme jauh lebih ganas daripada Hulagu Khan yang menyerang Kota Baghdad.

Gambaran keganasan komunisme dapat kita nilaikan sendiri berdasarkan pengalaman pahit yang dirasakan sendiri oleh mereka yang pernah diseksa bawah kekejaman sistem komunisme. Alexander Solzhennitzyns, seorang penulis dari Rusia yang pernah diseksa di khemah tahanan komunis telah merakamkan segala kekejaman diktator komunis itu dalam bukunya yang berjudul ' The Gulag Archipelago ' . Dalam buku tersebut, Alexander menyatakan seramai 15 juta manusia di khemah-khemah tahanan seluruh Rusia telah menerima tekanan dan penyeksaan yang sangat mengerikan. Katanya, tidak ada dalam sejarah, rejim ( pemerintahan ) yang lebih zalim, lebih dahagakan darah dan di samping itu lebih pintar berbanding pemerintahan Bolshevik. 'Revolusi Bolshevik 1917' telah mengorbankan banyak nyawa manusia. Angka pembunuhan berjumlah kira-kira 19,000,000 dan dengan hukuman berbagai-bagai seksaan terhadap 2,000,000 orang dan 4,000,000 dibuang negeri. Kekejaman itu merupakan harga yang dibayar hanya untuk memulakan percubaan komunisme-Marxisme sahaja!

KEGANASAN TAGHUT DI MUKA BUMI ( 2 )

Komunisme diasaskan secara jelas oleh seorang lelaki yang berbangsa German berketurunan Yahudi iaitu Karl Marx ( 1818-1883 ) dengan Friedrich Engel ( 1820-1895 ). Fahaman ini ternyata menolak ketuhanan. Mengikut komunisme, Tuhan itu adalah khayalan manusia belaka. Kata Karl Marx, agama adalah candu bagi rakyat dan dalam mencapai tingkat kebahagiaan yang tertinggi oleh rakyat, agama hendaklah dihapuskan. Sebenarnya, ideologi ini bermula akibat ledakan perasaan marah terhadap 'Kilang-kilang Syaitan Gelap' ( The Dark Satanic Mills ) pada zaman permulaan ideologi Kapitalisme, iaitu satu reaksi ngeri akibat pergolakan hebat akibat 'Revolusi Perindustrian'.

Dasar komunisme ( induk : Marxisme ) terbahagi kepada dua segi yang ekstrem iaitu bidang falsafah dan bidang ekonomi. Dalam bidang falsafah, komunisme mengajar kita 3 perkara :

1. Historis-Materialis dengan dialektikalnya.
2. Perjuangan kelas ( class struggle ).
3. Kenegaraan.

Dalam bidang ekonomi pula, kita diajar 5 perkara utama :
1. Teori Nilai Lebih.
2. Teori Pemusatan.
3. Teori Penumpukan.
4. Teori Menjadikan Miskin.
5. Teori Krisis.

Bagi Marx, faktor ekonomilah berpusatnya segala perkara, berakhir segala perkara dan kepentingan ekonomilah juga yang menentukan hukum dalam semua hal. Tegasnya, tujuan menghalalkan cara. Ia menghalalkan kedengkian, dendam kesumat, dan kebencian terhadap yang kaya lalu menawarkan harapan yang tidak mungkin direalisasikan.Ajaran Marxisme ini telah dan akan mencampakkan manusia kepada 3 bencana besar. Pertama, menarik manusia menjadi anti-Tuhan. Seorang tokoh penganjur revolusi komunis Rusia pada 1917 iaitu Vladimir Lenin, menyatakan bahawa setiap pemikiran tentang Tuhan adalah satu kerendahan. Agama tidak lain daripada semacam perkara yang menekan jiwa rakyat. Kedua, agama mesti hapuskan kerana agama ialah candu ( dadah )rakyat. Karl Marx pernah mewasiatkan bahawa syarat pertama daripada segala kritik ialah kritikan terhadap agama.. Kerana itulah, Lenin pernah mengeluarkan arahan supaya menulis ayat 'agama ialah candu rakyat ' di atas Gereja Iberia di Kremlin, Moscow. Dalam fasal 13 parti komunis, terdapat larangan supaya tiap-tiap parti tidak beragama, dan harus mengambil bahagian untuk menghapuskan agama. Ketiga, komunisme menentang hukum halal haram yang diajar agama, kerana hukum yang diterima ideologi tersebut ialah hukum yang dikehendaki keperluan ekonomi semata-mata.Komunisme adalah dogmatis dalam kegigihanya untuk menghapuskan harta milikan perseorangan dan memiliknegarakan harta setiap orang sebagai langkah pertama mencapai matlamat terakhirnya, iaitu masyarakat tanpa kelas. Dalam pidatonya dalam Liga Komunis, Marx menekankan bahawa golongan mewah harus ditentang dan membalas dendam terhadap orang yang dibenci adalah penting sekali.