Thursday, May 15, 2008

KEGANASAN TAGHUT DI MUKA BUMI ( 4 )

Oleh kerana agama telah menjadi musuh utama komunisme, maka Revolusi Bolshevik 1917 telah menekan dan menindas penganut-penganut agama di negara itu. Umat Islam yang telah bertapak di negara-negara Soviet sejak abad ketujuh di wilayah-wilayah seperti Azerbaijan, Uzbekistan, Tajikistan, Turkmenistan dan lain-lain lagi telah menerima tekanan daripada kerajaan komunis. Sesungguhnya, umat Islam yang berjumlah kira-kira 30 juta di negara itu menerima layanan yang sangat buruk.

Pada 23 Januari 1918, pemerintah telah mengeluarkan dekri yang membenarkan agama-agama hidup tetapi tidak boleh digunakan bagi mencampuri urusan pemerintahan dan perkara-perkara politik. Pada bulan Januari 1921, pemerintah melarang agama diajarkan kepada orang-orang yang berumur bawah 18 tahun. Walter Kolarz dalam bukunya ' Religion in the Soviet Union ' menyatakan umat Islam hanya dibenarkan bersembahyang Jumaat dan menubuhkan sebuah majlis syariah di wilayah Daghestan.

Oleh kerana kekuatan umat Islam terletak pada perpaduan, maka kerajaan komunis Rusia menggunakan taktik pecah dan perintah. Dalam memecahbelahkan 40,000 ulama' di Daghestan, komunis mengambil tindakan menyemak semula undang-undang syariah dan kemudiannya melarang akan perlaksanaannya. Pemerintah juga mengambil kuasa pentadbiran pendaftaran kelahiran-mati dan perkahwinan. Kemudian, perang saraf anti-agama dilancarkan secara besar-besaran, di mana buku-buku dan risalah-risalah kecil yang menghina para ulama' Islam disebarkan meluas. Majalah ' De Goddeloze ' dan ' De Atheist ' adalah antara bahan bacaan yang memburuk-burukkan Islam. Pada tahun 1952, sebuah majalah tentang sains dan agama diterbitkan dalam bahasa Tatar untuk menghasut masyarakat supaya merendah-rendahkan perbuatan ulama'.

Operasi anti-agama mulai berjalan hebat sekitar tahun 1928 dan 1933, di mana sebanyak 7000 buah masjid di wilayah Tatar dan 500 di wilayah Caucasus utara diperintah supaya ditutup. Harta wakaf dan kewangan badan-badan Islam dirampas untuk kegunaan perjalanan revolusi. Menurut majalah ' Reviec du Monde Musulman ' yang diterbitkan di Paris pada tahun 1924 menyebut bahawa masjid-masjid di seluruh Soviet Union yang berjumlah lebih 35,000 telah dimusnahkan. Masjid-masjid yang tidak dimusnahkan dijadikan kelab-kelab belia atau gudang. Menara Masjid Samarkand yang besar dirobohkan lalu diganti dengan patung Lenin.

Oleh kerana pusat-pusat pendidikan Islam berfungsi membentuk keimanan sekaligus menolak fahaman tidak bertuhan, maka kerajaan Rusia mengambil tindakan menutup 595 buah madrasah pada 1927. Cuma 2 buah sekolah arab sahaja dikekalkan iaitu Madrasah Mir-I-Arab di Bukhara dan Madrasah Barak Khan di Tashkent untuk dijadikan pameran bagi mengabui mata pelawat-pelawat dari negara Islam. Pelajar-pelajar lepasan kedua-dua madrasah itu dijadikan alat propaganda di negara-negara Arab. Madrasah itu juga dijadikan tempat mengajar fahaman yang membawa manusia menjadi atheis.

No comments: