AfghanistanNegara umat Islam yang pertama diceroboh oleh komunis Rusia menjelang abad ke-15 Hijrah ialah Afghanistan. Umat Islam yang berjumlah kira-kira 17,721,000 ( iaitu 99% daripada jumlah penduduk negara itu ) mengalami penderitaan yang tidak terperi. Erti firman Allah S.W.T. :
'' Dia berkata : '' Sesungguhnya raja-raja apabila memasuki satu negeri, nescaya mereka membinasakannya dan menjadikan penduduknya mulia menjadi hina; dan demikian pulalah yang akan dibuat mereka.''
( Surah An-Naml : 34 )
Rusia mulai menceroboh secara sah pada 31 Disember 1978. Penaklukan ke atas Afghanistan merupakan perbuatan kali keempat Rusia menggunakan kuasa ketenteraan dalam menguasai sesebuah negara asing. Negara yang pertama ialah German Timur pada tahun 1953, kedua ialah Hungary pada tahun 1956 dan ketiga ialah Czechoslovakia pada tahun 1968. Faktor besar yang mendorong Rusia menceroboh Afghanistan adalah kerana kebimbangan kepada kebangkitan kuasa Islam terutamanya Iran yang bersempadan itu menggugat dan mencabar komunisme.
Kebimbangan Rusia pernah diulas oleh majalah Newsweek atas tajuk : 'Moscow Looks South' keluaran bulan April 1979. Rusia khuatir kebangkitan umat Islam di Iran mempengaruhi umat Islam yang berada di dalam negerinya. Beberapa daerah di dalam Rusia seperti Azerbaijan, Turkmenistan, Uzbekistan, Tajikistan, Kirgizistan, Kazakhstan merupakan daerah-daerah yang ramai diduduki umat Islam. Pihak kerajaan komunis bimbang akan 50 juta umat Islam yang tinggal di daerah-daerah tersebut akan mengancam kestabilan politiknya. Jadi, pencerobohan tersebut adalah dihitung dari sudut strategi politik untuk menghadapi arus kebangkitan Islam yang mencabar itu.
Akhbar Pravda melaporkan 30,000 tentera Rusia telah pun berada di negara itu pada tarikh tersebut ( 31 Disember ). Meskipun 36 buah negara umat Islam ( termasuk Algeria, Libya, dan PLO yang berfahaman sosialisme ) mengutuk pencerobohan itu dalam satu persidangan di Islamabad, Pakistan pada 27 Januari 1979 tetapi Rusia meneruskan tindakan ganasnya. Walaupun pejabat kedutaannya diserang , namun Rusia tetap juga berdegil.
Dutanya di Malaysia, B.T. Koulit terpaksa berdepan dengan Angkatan Belia Islam Malaysia ( ABIM ) dan Pertubuhan Kebangsaan Pelajar-pelajar Islam Malaysia ( PKPIM ) yang melahirkan sikap yang jelas dan tegas menentang pencerobohan itu. Satu perhimpunan Perpaduan Islam Anti-Soviet anjuran ABIM berlansung di Masjid Jami', Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 8 Februari dengan kehadiran orang tidak kurang daripada 5000 orang.

No comments:
Post a Comment