Thursday, May 15, 2008

KEGANASAN TAGHUT DI MUKA BUMI ( 2 )

Komunisme diasaskan secara jelas oleh seorang lelaki yang berbangsa German berketurunan Yahudi iaitu Karl Marx ( 1818-1883 ) dengan Friedrich Engel ( 1820-1895 ). Fahaman ini ternyata menolak ketuhanan. Mengikut komunisme, Tuhan itu adalah khayalan manusia belaka. Kata Karl Marx, agama adalah candu bagi rakyat dan dalam mencapai tingkat kebahagiaan yang tertinggi oleh rakyat, agama hendaklah dihapuskan. Sebenarnya, ideologi ini bermula akibat ledakan perasaan marah terhadap 'Kilang-kilang Syaitan Gelap' ( The Dark Satanic Mills ) pada zaman permulaan ideologi Kapitalisme, iaitu satu reaksi ngeri akibat pergolakan hebat akibat 'Revolusi Perindustrian'.

Dasar komunisme ( induk : Marxisme ) terbahagi kepada dua segi yang ekstrem iaitu bidang falsafah dan bidang ekonomi. Dalam bidang falsafah, komunisme mengajar kita 3 perkara :

1. Historis-Materialis dengan dialektikalnya.
2. Perjuangan kelas ( class struggle ).
3. Kenegaraan.

Dalam bidang ekonomi pula, kita diajar 5 perkara utama :
1. Teori Nilai Lebih.
2. Teori Pemusatan.
3. Teori Penumpukan.
4. Teori Menjadikan Miskin.
5. Teori Krisis.

Bagi Marx, faktor ekonomilah berpusatnya segala perkara, berakhir segala perkara dan kepentingan ekonomilah juga yang menentukan hukum dalam semua hal. Tegasnya, tujuan menghalalkan cara. Ia menghalalkan kedengkian, dendam kesumat, dan kebencian terhadap yang kaya lalu menawarkan harapan yang tidak mungkin direalisasikan.Ajaran Marxisme ini telah dan akan mencampakkan manusia kepada 3 bencana besar. Pertama, menarik manusia menjadi anti-Tuhan. Seorang tokoh penganjur revolusi komunis Rusia pada 1917 iaitu Vladimir Lenin, menyatakan bahawa setiap pemikiran tentang Tuhan adalah satu kerendahan. Agama tidak lain daripada semacam perkara yang menekan jiwa rakyat. Kedua, agama mesti hapuskan kerana agama ialah candu ( dadah )rakyat. Karl Marx pernah mewasiatkan bahawa syarat pertama daripada segala kritik ialah kritikan terhadap agama.. Kerana itulah, Lenin pernah mengeluarkan arahan supaya menulis ayat 'agama ialah candu rakyat ' di atas Gereja Iberia di Kremlin, Moscow. Dalam fasal 13 parti komunis, terdapat larangan supaya tiap-tiap parti tidak beragama, dan harus mengambil bahagian untuk menghapuskan agama. Ketiga, komunisme menentang hukum halal haram yang diajar agama, kerana hukum yang diterima ideologi tersebut ialah hukum yang dikehendaki keperluan ekonomi semata-mata.Komunisme adalah dogmatis dalam kegigihanya untuk menghapuskan harta milikan perseorangan dan memiliknegarakan harta setiap orang sebagai langkah pertama mencapai matlamat terakhirnya, iaitu masyarakat tanpa kelas. Dalam pidatonya dalam Liga Komunis, Marx menekankan bahawa golongan mewah harus ditentang dan membalas dendam terhadap orang yang dibenci adalah penting sekali.

No comments: