Friday, May 23, 2008

KEGANASAN TAGHUT DI MUKA BUMI ( 8 )

Afghanistan




Negara umat Islam yang pertama diceroboh oleh komunis Rusia menjelang abad ke-15 Hijrah ialah Afghanistan. Umat Islam yang berjumlah kira-kira 17,721,000 ( iaitu 99% daripada jumlah penduduk negara itu ) mengalami penderitaan yang tidak terperi. Erti firman Allah S.W.T. :



'' Dia berkata : '' Sesungguhnya raja-raja apabila memasuki satu negeri, nescaya mereka membinasakannya dan menjadikan penduduknya mulia menjadi hina; dan demikian pulalah yang akan dibuat mereka.''

( Surah An-Naml : 34 )



Rusia mulai menceroboh secara sah pada 31 Disember 1978. Penaklukan ke atas Afghanistan merupakan perbuatan kali keempat Rusia menggunakan kuasa ketenteraan dalam menguasai sesebuah negara asing. Negara yang pertama ialah German Timur pada tahun 1953, kedua ialah Hungary pada tahun 1956 dan ketiga ialah Czechoslovakia pada tahun 1968. Faktor besar yang mendorong Rusia menceroboh Afghanistan adalah kerana kebimbangan kepada kebangkitan kuasa Islam terutamanya Iran yang bersempadan itu menggugat dan mencabar komunisme.
Kebimbangan Rusia pernah diulas oleh majalah Newsweek atas tajuk : 'Moscow Looks South' keluaran bulan April 1979. Rusia khuatir kebangkitan umat Islam di Iran mempengaruhi umat Islam yang berada di dalam negerinya. Beberapa daerah di dalam Rusia seperti Azerbaijan, Turkmenistan, Uzbekistan, Tajikistan, Kirgizistan, Kazakhstan merupakan daerah-daerah yang ramai diduduki umat Islam. Pihak kerajaan komunis bimbang akan 50 juta umat Islam yang tinggal di daerah-daerah tersebut akan mengancam kestabilan politiknya. Jadi, pencerobohan tersebut adalah dihitung dari sudut strategi politik untuk menghadapi arus kebangkitan Islam yang mencabar itu.

Akhbar Pravda melaporkan 30,000 tentera Rusia telah pun berada di negara itu pada tarikh tersebut ( 31 Disember ). Meskipun 36 buah negara umat Islam ( termasuk Algeria, Libya, dan PLO yang berfahaman sosialisme ) mengutuk pencerobohan itu dalam satu persidangan di Islamabad, Pakistan pada 27 Januari 1979 tetapi Rusia meneruskan tindakan ganasnya. Walaupun pejabat kedutaannya diserang , namun Rusia tetap juga berdegil.

Dutanya di Malaysia, B.T. Koulit terpaksa berdepan dengan Angkatan Belia Islam Malaysia ( ABIM ) dan Pertubuhan Kebangsaan Pelajar-pelajar Islam Malaysia ( PKPIM ) yang melahirkan sikap yang jelas dan tegas menentang pencerobohan itu. Satu perhimpunan Perpaduan Islam Anti-Soviet anjuran ABIM berlansung di Masjid Jami', Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 8 Februari dengan kehadiran orang tidak kurang daripada 5000 orang.

Thursday, May 15, 2008

KEGANASAN TAGHUT DI MUKA BUMI ( 7 )

YAMAN SELATAN

Penganut-penganut komunisme terus bekerja gigih dalam menerapkan ideologi tersebut supaya tersebar ke merata tempat lalu bertunjang kukuh dalam pemikiran masyarakat. Negara Islam ulung yang pertama ditelan komunisme ialah Yaman Selatan, iaitu pada tahun 1967 semasa pemerintahan Salem Rubaya Ali ( Kini Yaman Selatan adalah salah satu daripada Republik Yaman ). Negeri itu yang dulunya terkenal dengan nama Hadramaut merupakan salah satu pangkalan kegiatan dakwah Islamiah. Banyak ulama'-ulama' dari Hadramaut datang ke wilayah Asia terutamanya ke kepulauan Melayu. Nama-nama seperti Syed Abdullah al-Qudsi, Syed Osman Shahab, Syed Muhammad bin Ahmad Alaydrus, Syed Husin Algadri dan lain-lain merupakan mubaligh yang banyak sumbangan dalam proses Islamisasi di kepulauan Melayu. Meskipun masyarakat Yaman berdarah Arab, tetapi oleh kerana mereka tidak mengambil berat dalam kegiatan dakwah dan membiarkan kemungkaran bermaharajalela, maka negara itu terdedah kepada Ya'juj dan Ma'juj. Erti sabda Rasulullah S.A.W. :


'' Berkata Zainab binti Jahsy, isteri Rasulullah S.A.W. ; ( Pada suatu hari ) bangunlah Rasulullah S.A.W. dari tidurnya, dan muka baginda merah, lalu baginda mengucapkan ' Tiada Tuhan selain Allah... celakalah bagi bangsa Arab kerana telah dekat keburukan atau kejelekan, kerana telah dibuka hari ini daripada tirai Ya'juj dan Ma'juj seumpama sebesar ini ! ( Lalu baginda menggelangkan empu tangan baginda dengan jari telunjuk baginda ). Kemudian aku ( Zainab ) bertanya : '' Ya Rasulullah, apakah kita akan dibinasakan ( oleh Ya'juj dan Ma'juj ) ? Padahal pada kita masih banyak orang-orang soleh ? Maka jawab baginda : '' Tentu ! Apabila telah banyak kekejian. ''

( Hadis riwayat : Bukhari dan Muslim )

Kini negara itu telah ditelan komunisme. Kemasukan komunisme ke negeri itu menyebabkan kira-kira 95% umat Islam di negara itu terdedah kepada kekejaman. Dengan bantuan Rusia, Yaman Selatan berusaha meluaskan pengaruhnya ke negara-negara Arab sekitar sehinggakan tercetusnya peperangan antara Yaman Utara dengan Yaman Selatan pada bulan September 1972. Kini Yaman Selatan dibanjiri oleh ribuan penasihat komunis Rusia, German Timur dan Cuba. Pembunuhan Lt. Kolonel Husin al-Ghasmi yang berperanan sebagai Presiden Yaman Utara pada tahun 1978 juga adalah rancangan komunis. Atas dasar kerjasama dan persahabatan, Yaman Selatan membenarkan Rusia membina pangkalan tentera di negara itu, iaitu di Fatem dan Baina Jabalain serta pangkalan tentera udara di Annawahi. Pangkalan-pengkalan ini merupakan strategi Rusia untuk mengawal perairan laut Arab. Sidang Liga Arab pada 1 Julai 1978 di Kaherah ( Cairo ) mengecam keras kedatangan Rusia itu. Seluruh Arabia berasakan adanya pisau perpecahan yang bakal menghiris jantung perpaduan Arabia. Demikianlah nasib malang yang menimpa umat Islam di Yaman Selatan.

KEGANASAN TAGHUT DI MUKA BUMI ( 6 )

Segala tindak-tanduk dan kegiatan komunis untuk menghancurkan penentang-penentangnya, termasuk ke atas umat Islam telah digambarkan oleh Isa Yusoff Alptakin, seorang muslim yang mewakili Turkistan di dalam Persidangan Afro-Asia di Bandung, Indonesia pada 1955. Katanya, antara kezaliman yang dilakukan pemerintah komunis adalah dibakar hidup-hidup, dijadikan bahan ujian latihan menembak, dan pelbagai lagi kekejaman yang saya sendiri tidak sanggup catatkan di laman ini. Baymirza Hayit dalam 'Documents of Soviet Rusia's anti-Islamic Policy in Turkistan menyebut bahawa sejak tahun 1928 hingga 1939, ulama' ditangkap atau dibunuh, manakala Al-Quran dibakar.

Keganasan yang sama juga berlaku dalam zaman Revolusi Kebudayaan di China bawah kepimpinan Mao Tze Tong. Mao menulis dalam tahun 1927 bahawa satu revolusi ialah satu kebangkitan, satu tindakan ganas dengan satu kelas menggulingkan kelas yang lain. Sepuluh tahun kemudian ( 1938 ), Mao menjelaskan lagi bahawa kuasa parti komunis tumbuh dari muncung senjata. Prof. Kenneth Scoot Latourette, seorang sarjana sejarah di Universiti Yale menyatakan bahawa dalam masa dua tahun yang pertama komunis memerintah di China, sekurang-kurangnya antara 3 hingga 5 juta orang dibunuh. Kebanyakan orang ditembak beramai-ramai.

Gary Allen dalam bukunya ' Kissinger the Secret Side of the Secretary of State ' menulis bahawa anggaran yang paling rendah sekali tentang angka mangsa kematian sepanjang keganasan ialah 34 hingga 64 juta di negara itu. Angka pembunuhan pada zaman kebangkitan Nazisme menjadi kecil apabila dibandingkan dengan angka pembunuhan pada zaman rejim tirani komunis China itu.Nasib umat Islam di negeri China juga lebih kurang sama dengan nasib umat Islam di Rusia. Islam dibawa masuk ke negeri itu pada tahun 29 Hijrah (651 Masihi ) oleh sahabat nabi Muhammad S.A.W. iaitu Saad bin Abi Waqqas, dan beliau mendirikan masjid Canton sebagai pusat pengajaran Islam. Pada zaman pemerintahan Tai Sung (627-650), umat Islam mendapat layanan yang baik, tetapi pada zaman Dinasti Manchu (1644-1911), umat Islam mulai ditindas. Sebanyak 10 juta umat Islam telah dibunuh menyebabkan selama 300 tahun umat Islam berkurangan sebanyak 30% dan kemuncak penindasan ialah sejak meletusnya Revolusi Kebudayaan 1949. Sehingga kini jumlah umat Islam di negeri China mencapai angka 93,500,000 , iaitu 11% peratus sahaja daripada seluruh penduduk negara tersebut.Apabila komunis berkuasa di negeri China, umat Islam di negeri tersebut ditindas. Pemuda-pemuda daripada keluarga muslim dipaksa menjadi menjadi kader komunis dan masjid-masjid ditutup. Di Peking terdapat 42 masjid, tetapi cuma sebuah sahaja yang dibuka untuk solat iaitu Masjid Tungsze Pailo yang terletak di perkampungan Islam Ox-street, Peking. Itu pun, hanya pada hari Jumaat untuk anggota diplomatik dari negara-negara Islam yang berjumlah lebih kurang 30 orang.Pelajaran agama Islam disekat. Sebagai gantinya, masyarakat diajar Marxisme ataupun ajaran Mao Tze Tung. Kaum muslimin dipaksa memelihara khinzir. Haji Muhammad Ali Cheng Chief yang bertugas sebagai ulama' di tanah besar China ketika bercakap di sebuah Institut Pendidikan Agama di Karachi, Pakistan menyatakan pada bulan Jun 1966 bahawa di negeri China terdapat lebih 40,000 buah masjid tetapi kebanyakannya dijadikan kandang khinzir, restoran, gudang gandum, pejabat parti komunis atau pun tempat penyembelihan khinzir sebagai mana yang terjadi kepada masjid Jami' Peking yang didirikan 1000 tahun lalu pada zaman Dinasti Soong. Menurut 2 orang pemimpin masyarakat Islam di China, iaitu Kholid Cieh dan Salleh soeu yang lari dari tanah besar itu pada zaman 'Pengawal Merah' yang ganas itu bahawa orang-orang Islam dipaksa memakan daging khinzir dan masjid dijadikan panggung wayang serta tempat-tempat pertemuan pemimpin parti komunis. Amalan berkhatan yang biasa diamalkan oleh orang-orang Islam dilarang, manakala perkahwinan campuran sangat digalakkan agar jumlah umat Islam merosot. Semua harta wakaf khusus untuk tujuan perkembangan Islam dirampas oleh rejim komunis.

Oleh kerana ditindas, umat Islam di negara China bangun membela kebenaran dan keadilan. Pemberontakan dilancarkan oleh pemimpin-pemimpin mereka di beberapa wilayah. Pemberontakan di Singkiang dipimpin oleh Ali Khan Ture, di Altai dan Monggol oleh Osman, di barat laut China oleh Ma Ying, di Szechwan oleh Ma Hu Syan. 2 buah organisasi yang berjuang membela nasib umat Islam China iaitu China Islamic Association ( CIA ) DAN China Islamic Institute ( CII ) di bawah pimpinan Ma Chien yang pernah belajar di Universiti al-Azhar, Mesir.

KEGANASAN TAGHUT DI MUKA BUMI ( 5 )

Pada tahun 1941, Kerajaan Rusia mengambil sikap berlembut dengan umat Islam kerana muslihat tertentu. Wakil-wakil umat Islam dibenarkan mengadakan pertemuan dalam kalangan mereka. Pada tahun 1942, satu pertemuan diadakan di Ulfa. Hasil daripada pertemuan itu, maka pada bulan Oktober 1943 diadakan persidangan Islam Asia Tengah di Tashkent dan pada bulan Mei 1944, satu lagi persidangan diadakan di Baku, wilayah Transcaucasus. Dr. Sobri Salamon menyatakan bahawa laporan tentang persidangan ulama' itu merupakan satu alat propaganda yang amat berharga bagi memperkemaskan misi diplomatik Rusia di Timur Tengah. Kerja-kerja propaganda diperluaskan oleh kerajaan Rusia dengan memberi peranan kepada ulama'-ulama' mengambil bahagian sebagai penyambut tetamu rasmi dari negara-negara Islam. Mereka dikirim keluar negeri untuk tujuan propaganda seperti menunaikan haji di Mekah.

Bagaimanapun, tidak ramai ulama'-ulama' yang boleh diperalatkan oleh komunis. Cuma beberapa nama sahaja seperti Zia Al Din Babakhanov dilantik menjadi ketua Pertubuhan Persaudaraan Arab -Rusia pada tahun 1958. Beliau sering dihantar keluar negara seperti ke Syria untuk menyampaikan hadiah Perdamaian Rusia kepada mufti-mufti Syria, ke Stockholm menghadiri persidangan agama seluruh dunia dan ke Mekah serta ke Madinah untuk mengerjakan haji. Masjid Moscow yang dapat menampung 2500 jemaah itu dijadikan alat propaganda Rusia dalam kalangan umat Islam. Imam masjid tersebut membaca khutbah-khutbah yang mengandungi seruan supaya berkerjasama dengan pihak kerajaan komunis. Ulama'-ulama' jahat yang menjadi alat itu menutup sebelah mata daripada melihat penindasan dan kekejaman komunis Rusia ke atas umat Islam di seluruh negara tersebut.

Sebenarnya kekejaman dan keganasan ke atas umat Islam terus berlangsung di negara komunis itu, meskipun propaganda digembar-gemburkan mendakwa kerajaan Rusia mengamalkan kebebasan beragama. Di zaman Khruschev, banyak imam-imam masjid yang tidak berdaftar dengan kerajaan ditangkap lalu dipenjarakan. Di samping melancarkan propaganda secara tidak langsung untuk menghapuskan kepercayaan beragama melalui penciptaan 'masyarakat berteknologi'. Komunis percaya bahawa pencapaian teknologi boleh melupakan manusia kepada agama. Dalam kontek ini juga, kerajaan komunis mengadakan dua persidangan anti-agama pada tahun 1956. Pertama, di Baku dalam wilayah Caucasus dan Transcaucasus dan kedua, di Tashkent dalam asia tengah. Pusat-pusat pengajian yang dapat menjuruskan manusia kepada tidak mempercayai Tuhan ditubuhkan juga misalnya ' House of Atheis ' ditubuhkan di Alma Ata, 'Atheist' di Baku dan ' University of Scientific Atheism ' di Ashkhabad. Institusi-institusi ini berfungsi untuk mempelbagaikan bentuk anti-agama.

KEGANASAN TAGHUT DI MUKA BUMI ( 4 )

Oleh kerana agama telah menjadi musuh utama komunisme, maka Revolusi Bolshevik 1917 telah menekan dan menindas penganut-penganut agama di negara itu. Umat Islam yang telah bertapak di negara-negara Soviet sejak abad ketujuh di wilayah-wilayah seperti Azerbaijan, Uzbekistan, Tajikistan, Turkmenistan dan lain-lain lagi telah menerima tekanan daripada kerajaan komunis. Sesungguhnya, umat Islam yang berjumlah kira-kira 30 juta di negara itu menerima layanan yang sangat buruk.

Pada 23 Januari 1918, pemerintah telah mengeluarkan dekri yang membenarkan agama-agama hidup tetapi tidak boleh digunakan bagi mencampuri urusan pemerintahan dan perkara-perkara politik. Pada bulan Januari 1921, pemerintah melarang agama diajarkan kepada orang-orang yang berumur bawah 18 tahun. Walter Kolarz dalam bukunya ' Religion in the Soviet Union ' menyatakan umat Islam hanya dibenarkan bersembahyang Jumaat dan menubuhkan sebuah majlis syariah di wilayah Daghestan.

Oleh kerana kekuatan umat Islam terletak pada perpaduan, maka kerajaan komunis Rusia menggunakan taktik pecah dan perintah. Dalam memecahbelahkan 40,000 ulama' di Daghestan, komunis mengambil tindakan menyemak semula undang-undang syariah dan kemudiannya melarang akan perlaksanaannya. Pemerintah juga mengambil kuasa pentadbiran pendaftaran kelahiran-mati dan perkahwinan. Kemudian, perang saraf anti-agama dilancarkan secara besar-besaran, di mana buku-buku dan risalah-risalah kecil yang menghina para ulama' Islam disebarkan meluas. Majalah ' De Goddeloze ' dan ' De Atheist ' adalah antara bahan bacaan yang memburuk-burukkan Islam. Pada tahun 1952, sebuah majalah tentang sains dan agama diterbitkan dalam bahasa Tatar untuk menghasut masyarakat supaya merendah-rendahkan perbuatan ulama'.

Operasi anti-agama mulai berjalan hebat sekitar tahun 1928 dan 1933, di mana sebanyak 7000 buah masjid di wilayah Tatar dan 500 di wilayah Caucasus utara diperintah supaya ditutup. Harta wakaf dan kewangan badan-badan Islam dirampas untuk kegunaan perjalanan revolusi. Menurut majalah ' Reviec du Monde Musulman ' yang diterbitkan di Paris pada tahun 1924 menyebut bahawa masjid-masjid di seluruh Soviet Union yang berjumlah lebih 35,000 telah dimusnahkan. Masjid-masjid yang tidak dimusnahkan dijadikan kelab-kelab belia atau gudang. Menara Masjid Samarkand yang besar dirobohkan lalu diganti dengan patung Lenin.

Oleh kerana pusat-pusat pendidikan Islam berfungsi membentuk keimanan sekaligus menolak fahaman tidak bertuhan, maka kerajaan Rusia mengambil tindakan menutup 595 buah madrasah pada 1927. Cuma 2 buah sekolah arab sahaja dikekalkan iaitu Madrasah Mir-I-Arab di Bukhara dan Madrasah Barak Khan di Tashkent untuk dijadikan pameran bagi mengabui mata pelawat-pelawat dari negara Islam. Pelajar-pelajar lepasan kedua-dua madrasah itu dijadikan alat propaganda di negara-negara Arab. Madrasah itu juga dijadikan tempat mengajar fahaman yang membawa manusia menjadi atheis.

KEGANASAN TAGHUT DI MUKA BUMI ( 3 )

Setakat manakah perjuangan pemimpin-pemimpin komunis untuk membentuk masyarakat tanpa kelas itu sudah menjadi kenyataan? Atau hanya sekadar slogan kosong dan propaganda murahan untuk menipu rakyat?

Sesungguhnya sejarah telah pun menjawabnya. Ketua Bureau Time di Moscow, Marsh Clark melaporkan bahawa pembesar-pembesar dan pemimpin parti komunis mendapat kedudukan yang istimewa dalam banyak hal jika dibandingkan dengan rakyat. Makanan pembesar-pembesar negeri kebanyakannya diimport khusus dari luar negeri. Misalnya di jalan Granocsky di Kremlin, terdapat sebuah emporium tanpa tingkap yang membekalkan daging, buah-buahan, sayur-sayuran dan bahan-bahan lazat yang diimport untuk shishki ( orang besar ) sahaja, sedangkan rakyat biasa tidak dapat menikmati semua ini. Apabila orang besar sakit, mereka dirawat di poliklinik Kremlin untuk rawatan yang jauh lebih istimewa daripada rakyat biasa.Di Romania, pegawai-pegawai kanan dan pemimpin parti komunis mempunyai rumah besar, dan anak-anak mereka dihantar belajar di sekolah-sekolah khusus, sedangkan rakyat biasa tidak dapat menikmati semua ini. Di German Timur, lalu lintas jalan raya akan dihentikan oleh polis apabila kereta-kereta besar yang membawa pemimpin-pemimpin parti melintasinya. Di China pun sama. Selepas kemenangan Mao Tze Tong pada tahun 1949, pemimpin parti komunis terus berpindah ke villa-villa yang dirampas daripada golongan kapitalis. Balu Mao iaitu Chiang Ch'ing mempunyai dua buah villa di istana musim panas di Peking.

Pemimpin komunis hanya mampu menjanjikan keunggulan Marxisme tetapi mereka sebenarnya hanya berdrama dengan rakyat. Dr. Sobri Salamon dalam bukunya ' Marxisme : Pengenalan dan Penilaian Falsafah Sejarah ' menjelaskan bahawa sistem kerajaan komunis bukan mengamalkan sistem persamaan dan pemilikan bersama tetapi menjadi sistem penindasan yang amat berkesan. Tidak ada sebuah kerajaan di dunia ini yang mengamalkan buruh hamba ( slave labour ) kecuali kerajaan komunis.Sesungguhnya tindak tanduk komunisme jauh lebih ganas daripada Hulagu Khan yang menyerang Kota Baghdad.

Gambaran keganasan komunisme dapat kita nilaikan sendiri berdasarkan pengalaman pahit yang dirasakan sendiri oleh mereka yang pernah diseksa bawah kekejaman sistem komunisme. Alexander Solzhennitzyns, seorang penulis dari Rusia yang pernah diseksa di khemah tahanan komunis telah merakamkan segala kekejaman diktator komunis itu dalam bukunya yang berjudul ' The Gulag Archipelago ' . Dalam buku tersebut, Alexander menyatakan seramai 15 juta manusia di khemah-khemah tahanan seluruh Rusia telah menerima tekanan dan penyeksaan yang sangat mengerikan. Katanya, tidak ada dalam sejarah, rejim ( pemerintahan ) yang lebih zalim, lebih dahagakan darah dan di samping itu lebih pintar berbanding pemerintahan Bolshevik. 'Revolusi Bolshevik 1917' telah mengorbankan banyak nyawa manusia. Angka pembunuhan berjumlah kira-kira 19,000,000 dan dengan hukuman berbagai-bagai seksaan terhadap 2,000,000 orang dan 4,000,000 dibuang negeri. Kekejaman itu merupakan harga yang dibayar hanya untuk memulakan percubaan komunisme-Marxisme sahaja!

KEGANASAN TAGHUT DI MUKA BUMI ( 2 )

Komunisme diasaskan secara jelas oleh seorang lelaki yang berbangsa German berketurunan Yahudi iaitu Karl Marx ( 1818-1883 ) dengan Friedrich Engel ( 1820-1895 ). Fahaman ini ternyata menolak ketuhanan. Mengikut komunisme, Tuhan itu adalah khayalan manusia belaka. Kata Karl Marx, agama adalah candu bagi rakyat dan dalam mencapai tingkat kebahagiaan yang tertinggi oleh rakyat, agama hendaklah dihapuskan. Sebenarnya, ideologi ini bermula akibat ledakan perasaan marah terhadap 'Kilang-kilang Syaitan Gelap' ( The Dark Satanic Mills ) pada zaman permulaan ideologi Kapitalisme, iaitu satu reaksi ngeri akibat pergolakan hebat akibat 'Revolusi Perindustrian'.

Dasar komunisme ( induk : Marxisme ) terbahagi kepada dua segi yang ekstrem iaitu bidang falsafah dan bidang ekonomi. Dalam bidang falsafah, komunisme mengajar kita 3 perkara :

1. Historis-Materialis dengan dialektikalnya.
2. Perjuangan kelas ( class struggle ).
3. Kenegaraan.

Dalam bidang ekonomi pula, kita diajar 5 perkara utama :
1. Teori Nilai Lebih.
2. Teori Pemusatan.
3. Teori Penumpukan.
4. Teori Menjadikan Miskin.
5. Teori Krisis.

Bagi Marx, faktor ekonomilah berpusatnya segala perkara, berakhir segala perkara dan kepentingan ekonomilah juga yang menentukan hukum dalam semua hal. Tegasnya, tujuan menghalalkan cara. Ia menghalalkan kedengkian, dendam kesumat, dan kebencian terhadap yang kaya lalu menawarkan harapan yang tidak mungkin direalisasikan.Ajaran Marxisme ini telah dan akan mencampakkan manusia kepada 3 bencana besar. Pertama, menarik manusia menjadi anti-Tuhan. Seorang tokoh penganjur revolusi komunis Rusia pada 1917 iaitu Vladimir Lenin, menyatakan bahawa setiap pemikiran tentang Tuhan adalah satu kerendahan. Agama tidak lain daripada semacam perkara yang menekan jiwa rakyat. Kedua, agama mesti hapuskan kerana agama ialah candu ( dadah )rakyat. Karl Marx pernah mewasiatkan bahawa syarat pertama daripada segala kritik ialah kritikan terhadap agama.. Kerana itulah, Lenin pernah mengeluarkan arahan supaya menulis ayat 'agama ialah candu rakyat ' di atas Gereja Iberia di Kremlin, Moscow. Dalam fasal 13 parti komunis, terdapat larangan supaya tiap-tiap parti tidak beragama, dan harus mengambil bahagian untuk menghapuskan agama. Ketiga, komunisme menentang hukum halal haram yang diajar agama, kerana hukum yang diterima ideologi tersebut ialah hukum yang dikehendaki keperluan ekonomi semata-mata.Komunisme adalah dogmatis dalam kegigihanya untuk menghapuskan harta milikan perseorangan dan memiliknegarakan harta setiap orang sebagai langkah pertama mencapai matlamat terakhirnya, iaitu masyarakat tanpa kelas. Dalam pidatonya dalam Liga Komunis, Marx menekankan bahawa golongan mewah harus ditentang dan membalas dendam terhadap orang yang dibenci adalah penting sekali.

KEGANASAN TAGHUT DI MUKA BUMI ( 1 )

Merujuk kepada doktrin 'Komunisme' dan 'Sosialisme', ada sejarawan-sejarawan dan penulis-penulis muslim mengaitkan Ya'juj dan Ma'juj ( Yagog dan Magog ) dengan komunisme Rusia dan China.Dalam Quran dan Hadis, tidak ada sepatah pun istilah 'komunisme' dan 'sosialisme' tetapi kita semua sedar bahawa ideologi ini menidakkan Tuhan dan menimbulkan huru-hara di dunia ini sedangkan kita dicipta untuk mengabdikan diri kita hanya kepada Tuhan sahaja.

''Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepada Aku.''
( Surah Az-Zariyaat:56 )

Syed Qutb menyatakan masyarakat ciptaan komunis tidak akan menghasilkan apa-apa kecuali gejala paling buruk dalam sejarah umat manusia kerana sejak asal lagi kelahiran fahaman ini telah menonjolkan ciri-ciri kehaiwanan dengan beranggapan keperluan asasi bagi manusia hanyalah makanan, tempat berteduh dan seks. Teori Dialektikal Materialisme hanya akan mencetuskan huru-hara dalam kalangan manusia. Hakikat ini diakui sendiri oleh Dr. Mustaffa Mahmud, seorang penulis dari Mesir yang pernah menganut fahaman Marxisme. Katanya, komunisme menghasut rakyat dengan menanam perjuangan kelas ( konsep class struggle ) sebagai keadilan dan dendam kesumat terhadap kapitalisme pada waktu itu.

Negara Rusia dan China dikaitkan kerana golongan komunis itu berasal dari tempat tinggi iaitu kawasan Rusia dan China itu sendiri. Kedudukan Rusia menganjur dari eropah timur dan bersambung dengan China di asia timur lalu bertemu dengan banjaran Caucasus dan Himalaya di asia selatan telah menggambarkan negara tersebut terletak di kawasan tinggi. Dalam Bible, surah Ezekiel ayat 38 dan 39 ada menyebut beberapa istilah yang berkait rapat dengan kawasan yang terletak dalam Rusia sekarang ini :

'' Hai putera manusia, hadaplah mukamu pada Magog raja utama dari Meschech dan Tubal dan ramalan terhadap dia, dan katakanlah, demikian sabda Allah Tuhan, ingatlah Aku menentang kamu wahai Gog raja utama dari Meschech dan Tubal, dan saya akan palingkan mukamu dan menaruh kait ke dalam rahangmu dan akan membawa kamu keluar kembali, dan semua pasukanmu, kuda-kuda dan penunggang-penunggang kuda semuanya berpakaian dengan segala jenis senjata.''

'' Oleh kerana itu engkau anak manusia ramalkan tentang Gog dan katakanlah, demikian Allah Tuhan bersabda : Ingatlah ! Aku menentang kamu Gog dan raja utama dari Meschech dan Tubal dan saya akan memalingkan kamu dan akan memerintahkan kamu datang dari wilayah utara.''

Demikianlah Bible membayangkan Ya'juj dan Ma'juj datang dari wilayah utara. Jika dilihat pada peta berpusatkan Jerusalem, ternyata Rusia merupakan tanah tinggi yang terletak di tanah tinggi utara. Kota Meschech itu mungkin Moscow yang menjadi ibu negeri Rusia sekarang ini. Di Rusia juga terdapat dua batang sungai yang bernama Sungai Maskva di Moscow dan Sungai Tubal di Tobolsk. Jadi besar kemungkinan gambaran daripada Bible ini adalah komunis yang bertapak di Rusia sekarang.

KEGIGIHAN SYAITAN DI MEDAN KEKUFURAN ( 4 )

Syaitan juga menyesatkan manusia melalui amalan khurafat atau tahyul seperti dukun-dukun, ahli-ahli nujum, amalan sihir dan tangkai-tangkai azimat. Banyak manusia jatuh ke dalam lubang kesyirikan kerana yakin akan ahli-ahli nujum terbabit ( penilik nasib ). Seorang sejarawan, sosiologis dan ulama' Islam yang terkemuka iaitu Ibnu Khaldun telah menyatakan dalam kitab karangannya, 'Muqaddimah' bahawa sihir itu merupakan cara pengkhianatan, merendahkan dari kepada syaitan. Maka hal sedemikian bermaksud merendahkan diri selain kepada Allah S.W.T. dan merendahkan diri selain kepada Allah S.W.T. dianggap syirik atau terus kufur.Dalam Al-Quran dan Hadis Rasulullah S.A.W. terdapat banyak larangan supaya manusia tidak menghampiri nujum ( tilikan bintang ) dan sihir. Allah S.W.T. berfirman ertinya :

'' Dan mereka mengikuti apa yang dibaca oleh syaitan-syaitan pada masa kerajaan Sulaiman ( dan mereka mengatakan bahawa Sulaiman itu mengerjakan sihir ), padahal Sulaiman tidak kafir ( tidak mengerjakan sihir ), hanya syaitan-syaitanlah yang kafir ( mengerjakan sihir ). Mereka mengajarkan sihir kepada manusia dan apa yang diturunkan kepada dua orang malaikat di negeri Babil ( Babylon ) iaitu Harut dan Marut, sedang keduanya tidak mengajarkan ( sesuatu ) kepada seseorang pun sebelum mengatakan : '' Sesungguhnya kami hanya cubaan (bagimu ), sebab itu janganlah kamu kafir.'' Maka mereka mempelajari dari kedua-dua malaikat itu dengan apa yang dengan sihir itu, mereka dapat menceraikan antara seorang ( suami ) dengan isterinya. Dan mereka itu ( ahli sihir ) tidak memberi mudarat dengan sihirnya kepada seorang pun kecuali izin Allah. Dan mereka mempelajari sesuatu yang memberi mudharat kepadanya dan tidak bermanfaat. Demi sesungguhnya, mereka telah meyakini bahawa barang siapa yang menukar ( kitab Allah ) dengan sihir itu, tiadalah baginya keuntungan di akhirat, dan amat jahatlah perbuatan mereka menjual dirinya dengan sihir, kalau mereka mengetahui.''
( Al-Baqarah : 102 )

Rasulullah S.A.W. juga dalam hadis-hadisnya telah memberi peringatan supaya menjauhkan diri daripada amalan yang membawa kepada syirik itu.

'' Jauhilah hal-hal yang mencelakakan, iaitu syirik kepada Allah dan sihir.''
( Hadis riwayat : Bukhari )

'' Daripada Abdullah bin Mas'ud daripada nabi ( S.A.W. ) bersabda : '' Sesungguhnya mantera, azimat dan tiwalah itu adalah syirik.''
( Hadis riwayat : Ahmad )

Rasulullah S.A.W. melarang amalan-amalan tersebut kerana hal tersebut bercampur dengan kedustaan yang boleh merosakkan iman. Kerana itulah baginda menegaskan bahawa sesiapa yang mengamalkan ilmu sihir atau meminta pertolongan ahli sihir akan terkeluar dari lingkungan umatnya. Sabda baginda :'' Daripada Umar Ibn Hushain daripada nabi ( S.A.W. ) bersabda : '' Bukanlah daripada golongan kami, orang yang bertathayyar, atau orang yang bertenung ( tilik nasib ), atau minta ditenungkan, atau menyihir atau minta disihirkan kerananya.''( Hadis riwayat : Bazzar dan Tabrani )Sesungguhnya ini semua adalah tanda-tanda kejayaan syaitan menggoda dan menyesatkan anak cucu Nabi Adam A.S. dengan sejauh-jauhnya.

KEGIGIHAN SYAITAN DI MEDAN KEKUFURAN ( 3 )

Syaitan juga dengan mudah sekali masuk bersarang ke dalam lubuk perasaan dan jiwa kebanyakan para seniman, budayawan atau penyair sehingga mereka ini lalai dan hanyut dalam arus kemabukan rasa. Mereka punah dalam lakonan-lakonan drama, nyanyian rakyat, dikir barat, wayang kulit, Malam Seniman, Hari Puisi dan lain-lain ( yang melalaikan daripada mengingati Tuhan ). Mereka suka menyatakan apa-apa yang mereka sendiri tidak kerjakan. Seniman atau penyair seperti ini dianggap oleh Imam Al-Ghazali sebagai wali syaitan. Kesemuanya ini menjuruskan mereka ke dalam kesesatan. Allah S.W.T. berfirman ertinya :

'' Dan penyair-penyair itu diikuti oleh orang-orang yang sesat. Tidakkah kamu melihat bahawasanya mereka mengembara di tiap-tiap lembah dan bahawasanya mereka suka mengatakan apa yang mereka sendiri tidak kerjakan ? ''
( As-Syu'ara : 224-226 )

Kesesatan para sasterawan dan seniman ternyata terbukti apabila mereka memperhambakan diri mereka kepada seni semata-mata. Konsep 'Seni untuk Masyarakat' dan 'Seni untuk Seni' yang mereka dukung itu merupakan konsep yang batil. Profesor A. Hasjmy, seorang sarjana Islam dari Sumatera ketika membentangkan kertas kerjanya dalam Simfosium Darul Iman di Kuala Terengganu pada 9 Disember 1981 menyifatkan bahawa kaum sasterawan yang memegang fahaman seni tersebut sebagai sasterawan munafiq. Sasterawan sebegini lebih mendorong pembaca untuk melakukan kemungkaran. Karya mereka mengandungi kecenderungan ( tendency ) anti-agama.Prof. A. Hasjmy menyatakan bagaimana golongan sasterawan munafiq ini menganut ajaran yang pada hakikat sebenarnya ini adalah bohong. Hal ini kerana karya-karya sastera mereka sebenarnya mengandungi sesuatu tujuan untuk mendorong manusia melawan kebenaran, menentang Allah S.W.T. dan seterusnya mendorong kepada lahirnya masyarakat durjana. Mereka menampilkan lingkaran hidup yang jahat, di mana orang-orangnya bergelumang dengan dosa dan pengarangnya tidak berusaha untuk menyedari lalu menyedarkan bahawa lingkungan hidup sedemikian bertentangan dengan ajaran agama. Sebaliknya, mereka memuja tokoh-tokoh utamanya ( watak utama ) sebagai pahlawan, pembela manusia dan dan pejuang kebebasan hidup secara perseorangan ( tidak terlibat dengan kepentingan agama ).

KEGIGIHAN SYAITAN DI MEDAN KEKUFURAN ( 2 )

Ameer Syakib Arsalan, seorang pejuang Islam yang berjasa pada zaman silam menyatakan bahawa golongan ulama' yang berbahaya kepada umat Islam ialah ulama' yang menjadi pengampu atau penjilat ludah para pemerintah ( umara ) yang zalim. Mereka bersekongkol dengan pemimpin untuk menekan dakwah dan kebangkitan Islam semata-mata ingin menjaga kedudukan, pangkat dan lain-lain kepentingan duniawi. Ulama'-ulama' yang jahat ini tidak mencegah kemungkaran yang berlaku dalam masyarakat sedangkan Rasulullah telah bersabda ertinya :

'' Abu Said Al-Khudri R.A. telah berkata : Saya telah mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda : '' Siapa yang antara kamu melihat kemungkaran, harus mengubahnya dengan tangannya, apabila tidak dapat, maka dengan mulutnya, apabila tidak dapat, maka dengan hatinya, dan ini selemah-lemahnya iman.''
( Hadis riwayat : Muslim )
Banyak berlaku dalam sejarah ulama'-ulama' yang mendekati yang mendekati umara atas dasar kepentingan duniawi dan sanggup melakukan apa-apa sahaja, termasuklah menjatuhkan nama baik orang lain asalkan hajat mereka tercapai. Mereka sanggup menabur fitnah dan memperkosa kebenaran contohnya di Mesir, Syeikh Yusoff Nabhani, seorang ulama' kerajaan menaburkan fitnah ke atas Syeikh Muhammad Abduh agar tokoh itu dipandang hina oleh masyarakat. Di Iran, kematian Syeikh Fazlullah Nuri, seorang ulama' besar di negara itu berpunca daripada kegiatan jahat seorang mullah ( ulama' ) yang juga berserban. Kata Imam Khomeini, apabila ulama' telah kotor rohaniahnya kerana menyerahkan kebenaran kepada pemerintah batil dan zalim, mereka bersedia melakukan penganiayaan yang lebih menyeksakan. Jika seseorang peniaga berfikiran korup, dia akan menipu pembelinya sahaja tetapi jika seseorang yang berilmu itu korup, ia akan menjahanamkan satu masyarakat dan negara. Ulama' yang semacam ini amat rendah sekali dalam pandangan Islam. Rasulullah S.A.W. bersabda dalam sebuah hadis ertinya :

'' Kecelakaan adalah untuk umatku dari ( akibat perbuatan ) ulama' jahat, mereka memperdagangkan ilmu ini, mereka menjualnya kepada para penguasa pada masa mereka dengan maksud untuk keuntungan diri mereka sendiri. Semoga Allah tidak memberi keuntungan pada perdagangan mereka itu.''
( Hadis riwayat : Hakim daripada Annas R.A. )

Imam Al-Ghazali melihat bahawa kerosakan yang berlaku dalam kalangan umara ( pemerintah ) itu sebahagian besarnya berpunca daripada ulama jahat. Katanya, kerosakan rakyat itu berpunca daripada kerosakan pemerintah, dan kerosakan pemerintah itu berpunca daripada kerosakan para ulama' us-su'. Jika tidak ada kadi yang jahat dan ulama' us-su', tentulah akan kurang berlaku kerosakan dalam kalangan pemerintah.Imam Khomeini menegaskan bahawa ilmu itu akan menghanyutkan para ulama' daripada Allah S.W.T. kecuali mereka menyucikan rohani atau melaksanakan perintah jihad. Kerana itulah Dr. Abdul Qadir Audhah, seorang ulama' dan mujahid Islam dari Mesir yang mati syahid dalam perjuangan menentang sistem taghut telah menyeru ulama' seluruh dunia supaya melakukan sesuatu ( iaitu berjihad ) demi kecemerlangan masa depan seluruh umat muslimin.

KEGIGIHAN SYAITAN DI MEDAN KEKUFURAN ( 1 )

Sesungguhnya iblis atau amat gigih dan berdedikasi dalam menjalankan kerja-kerjanya untuk menyesatkan manusia. Strategi yang diaturnya amat hebat sekali. Kadang-kadang manusia yang mempunyai pertahanan dari segi keilmuan pun turut sama terperangkap dalam jaringan kesesatan itu. Banyak orang alim menolak kebenaran lalu menjadi alat kepada taghut, sedangkan orang alim atau ulama' itu laksana cahaya yang boleh menjadi pedoman kepada manusia dalam mencari kebenaran sebagaimana erti sabda Rasulullah S.A.W :

'' Para ulama' itu adalah sebagai pelita di permukaan bumi ini, sebagai pengganti-pengganti para nabi, dan sebagai warisku, dan sebagai waris para nabi.''
( Hadis riwayat : Ibnu Ady daripada Saidina Ali R.A )


Kerana itulah dalam usaha mendapatkan bimbingan ulama', Rasulullah S.A.W. berpesan supaya berhati-hati, kerana tidak semua yang bergelar ulama' itu baik. Erti sabda Rasulullah S.A.W. :

'' Janganlah kamu semua duduk semajlis dengan sebarang ulama', kecuali dengan ulama' yang mengajak daripada lima perkara kepada lima perkara iaitu daripada keraguan kepada keyakinan, dari riya' kepada keikhlasan, daripada ketamakan dunia kepada kesederhanaan, daripada takbur kepada rendah diri, dan daripada permusuhan kepada kejujuran.''
( Hadis riwayat : Abu Nu'aim daripada Saidina Ali R.A. )

Merujuk kepada hadis tersebut, ternyata di samping terdapatnya ulama' warasatun anbiya yang berperanan memikul risalah tauhid itu, terdapat satu lagi golongan ulama', iaitu ulama' us-su' ( ulama' jahat ) yang berkerja menyeret manusia ke lembah kesesatan dan kerosakan. Ulama' us-su' ini lahir sepanjang sejarah manusia. Mereka memiliki ilmu yang tinggi, dan dengan ilmu itulah mereka menggunakan untuk menjaga kepentingan diri sendiri meskipun terpaksa menodai kesucian agama dan mengkhianati umat Islam. Di Mesir umpamanya, terdapat manusia seperti Ali Abdul Raziq dan Syed Ameer Ali yang diperagakan dirinya oleh taghut imperialis kafir barat untuk menodai kesucian Islam. Syed Ameer Ali meletakkan hukum taghut di tempat yang tinggi dan menafikan kesempurnaan hukum Islam. Dalam bukunya iaitu The Spirit of Islam, Syed Ameer Ali menghuraikan bahawa Islam itu adalah agama yang paling liberal dan rasional yang menjadi lambang kemajuan seperti yang difahami oleh orang-orang yang berfikiran moden. Poligami, purdah, dan jihad dikecam sebagai bertentangan dengan semangat agama Islam yang sebenar. Ali Abdul Raziq pula menerima pandangan taghut, iaitu aliran sekularisme. Beliau menulis bahawa agama itu tidak ada kaitan dengan politik dan pemerintahan. Pandangan yang melampau itu merupakan satu pemberontakan yang militan terhadap agama dan nilai-nilai rohaniah yang terdapat dalam ajaran agama. Ia menentang agama ( deen ), menentang syariah, dan menentang sunnah.