Segala tindak-tanduk dan kegiatan komunis untuk menghancurkan penentang-penentangnya, termasuk ke atas umat Islam telah digambarkan oleh Isa Yusoff Alptakin, seorang muslim yang mewakili Turkistan di dalam Persidangan Afro-Asia di Bandung, Indonesia pada 1955. Katanya, antara kezaliman yang dilakukan pemerintah komunis adalah dibakar hidup-hidup, dijadikan bahan ujian latihan menembak, dan pelbagai lagi kekejaman yang saya sendiri tidak sanggup catatkan di laman ini. Baymirza Hayit dalam 'Documents of Soviet Rusia's anti-Islamic Policy in Turkistan menyebut bahawa sejak tahun 1928 hingga 1939, ulama' ditangkap atau dibunuh, manakala Al-Quran dibakar.
Keganasan yang sama juga berlaku dalam zaman Revolusi Kebudayaan di China bawah kepimpinan Mao Tze Tong. Mao menulis dalam tahun 1927 bahawa satu revolusi ialah satu kebangkitan, satu tindakan ganas dengan satu kelas menggulingkan kelas yang lain. Sepuluh tahun kemudian ( 1938 ), Mao menjelaskan lagi bahawa kuasa parti komunis tumbuh dari muncung senjata. Prof. Kenneth Scoot Latourette, seorang sarjana sejarah di Universiti Yale menyatakan bahawa dalam masa dua tahun yang pertama komunis memerintah di China, sekurang-kurangnya antara 3 hingga 5 juta orang dibunuh. Kebanyakan orang ditembak beramai-ramai.
Gary Allen dalam bukunya ' Kissinger the Secret Side of the Secretary of State ' menulis bahawa anggaran yang paling rendah sekali tentang angka mangsa kematian sepanjang keganasan ialah 34 hingga 64 juta di negara itu. Angka pembunuhan pada zaman kebangkitan Nazisme menjadi kecil apabila dibandingkan dengan angka pembunuhan pada zaman rejim tirani komunis China itu.Nasib umat Islam di negeri China juga lebih kurang sama dengan nasib umat Islam di Rusia. Islam dibawa masuk ke negeri itu pada tahun 29 Hijrah (651 Masihi ) oleh sahabat nabi Muhammad S.A.W. iaitu Saad bin Abi Waqqas, dan beliau mendirikan masjid Canton sebagai pusat pengajaran Islam. Pada zaman pemerintahan Tai Sung (627-650), umat Islam mendapat layanan yang baik, tetapi pada zaman Dinasti Manchu (1644-1911), umat Islam mulai ditindas. Sebanyak 10 juta umat Islam telah dibunuh menyebabkan selama 300 tahun umat Islam berkurangan sebanyak 30% dan kemuncak penindasan ialah sejak meletusnya Revolusi Kebudayaan 1949. Sehingga kini jumlah umat Islam di negeri China mencapai angka 93,500,000 , iaitu 11% peratus sahaja daripada seluruh penduduk negara tersebut.Apabila komunis berkuasa di negeri China, umat Islam di negeri tersebut ditindas. Pemuda-pemuda daripada keluarga muslim dipaksa menjadi menjadi kader komunis dan masjid-masjid ditutup. Di Peking terdapat 42 masjid, tetapi cuma sebuah sahaja yang dibuka untuk solat iaitu Masjid Tungsze Pailo yang terletak di perkampungan Islam Ox-street, Peking. Itu pun, hanya pada hari Jumaat untuk anggota diplomatik dari negara-negara Islam yang berjumlah lebih kurang 30 orang.Pelajaran agama Islam disekat. Sebagai gantinya, masyarakat diajar Marxisme ataupun ajaran Mao Tze Tung. Kaum muslimin dipaksa memelihara khinzir. Haji Muhammad Ali Cheng Chief yang bertugas sebagai ulama' di tanah besar China ketika bercakap di sebuah Institut Pendidikan Agama di Karachi, Pakistan menyatakan pada bulan Jun 1966 bahawa di negeri China terdapat lebih 40,000 buah masjid tetapi kebanyakannya dijadikan kandang khinzir, restoran, gudang gandum, pejabat parti komunis atau pun tempat penyembelihan khinzir sebagai mana yang terjadi kepada masjid Jami' Peking yang didirikan 1000 tahun lalu pada zaman Dinasti Soong. Menurut 2 orang pemimpin masyarakat Islam di China, iaitu Kholid Cieh dan Salleh soeu yang lari dari tanah besar itu pada zaman 'Pengawal Merah' yang ganas itu bahawa orang-orang Islam dipaksa memakan daging khinzir dan masjid dijadikan panggung wayang serta tempat-tempat pertemuan pemimpin parti komunis. Amalan berkhatan yang biasa diamalkan oleh orang-orang Islam dilarang, manakala perkahwinan campuran sangat digalakkan agar jumlah umat Islam merosot. Semua harta wakaf khusus untuk tujuan perkembangan Islam dirampas oleh rejim komunis.
Oleh kerana ditindas, umat Islam di negara China bangun membela kebenaran dan keadilan. Pemberontakan dilancarkan oleh pemimpin-pemimpin mereka di beberapa wilayah. Pemberontakan di Singkiang dipimpin oleh Ali Khan Ture, di Altai dan Monggol oleh Osman, di barat laut China oleh Ma Ying, di Szechwan oleh Ma Hu Syan. 2 buah organisasi yang berjuang membela nasib umat Islam China iaitu China Islamic Association ( CIA ) DAN China Islamic Institute ( CII ) di bawah pimpinan Ma Chien yang pernah belajar di Universiti al-Azhar, Mesir.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment