Thursday, May 15, 2008

KEGIGIHAN SYAITAN DI MEDAN KEKUFURAN ( 1 )

Sesungguhnya iblis atau amat gigih dan berdedikasi dalam menjalankan kerja-kerjanya untuk menyesatkan manusia. Strategi yang diaturnya amat hebat sekali. Kadang-kadang manusia yang mempunyai pertahanan dari segi keilmuan pun turut sama terperangkap dalam jaringan kesesatan itu. Banyak orang alim menolak kebenaran lalu menjadi alat kepada taghut, sedangkan orang alim atau ulama' itu laksana cahaya yang boleh menjadi pedoman kepada manusia dalam mencari kebenaran sebagaimana erti sabda Rasulullah S.A.W :

'' Para ulama' itu adalah sebagai pelita di permukaan bumi ini, sebagai pengganti-pengganti para nabi, dan sebagai warisku, dan sebagai waris para nabi.''
( Hadis riwayat : Ibnu Ady daripada Saidina Ali R.A )


Kerana itulah dalam usaha mendapatkan bimbingan ulama', Rasulullah S.A.W. berpesan supaya berhati-hati, kerana tidak semua yang bergelar ulama' itu baik. Erti sabda Rasulullah S.A.W. :

'' Janganlah kamu semua duduk semajlis dengan sebarang ulama', kecuali dengan ulama' yang mengajak daripada lima perkara kepada lima perkara iaitu daripada keraguan kepada keyakinan, dari riya' kepada keikhlasan, daripada ketamakan dunia kepada kesederhanaan, daripada takbur kepada rendah diri, dan daripada permusuhan kepada kejujuran.''
( Hadis riwayat : Abu Nu'aim daripada Saidina Ali R.A. )

Merujuk kepada hadis tersebut, ternyata di samping terdapatnya ulama' warasatun anbiya yang berperanan memikul risalah tauhid itu, terdapat satu lagi golongan ulama', iaitu ulama' us-su' ( ulama' jahat ) yang berkerja menyeret manusia ke lembah kesesatan dan kerosakan. Ulama' us-su' ini lahir sepanjang sejarah manusia. Mereka memiliki ilmu yang tinggi, dan dengan ilmu itulah mereka menggunakan untuk menjaga kepentingan diri sendiri meskipun terpaksa menodai kesucian agama dan mengkhianati umat Islam. Di Mesir umpamanya, terdapat manusia seperti Ali Abdul Raziq dan Syed Ameer Ali yang diperagakan dirinya oleh taghut imperialis kafir barat untuk menodai kesucian Islam. Syed Ameer Ali meletakkan hukum taghut di tempat yang tinggi dan menafikan kesempurnaan hukum Islam. Dalam bukunya iaitu The Spirit of Islam, Syed Ameer Ali menghuraikan bahawa Islam itu adalah agama yang paling liberal dan rasional yang menjadi lambang kemajuan seperti yang difahami oleh orang-orang yang berfikiran moden. Poligami, purdah, dan jihad dikecam sebagai bertentangan dengan semangat agama Islam yang sebenar. Ali Abdul Raziq pula menerima pandangan taghut, iaitu aliran sekularisme. Beliau menulis bahawa agama itu tidak ada kaitan dengan politik dan pemerintahan. Pandangan yang melampau itu merupakan satu pemberontakan yang militan terhadap agama dan nilai-nilai rohaniah yang terdapat dalam ajaran agama. Ia menentang agama ( deen ), menentang syariah, dan menentang sunnah.

No comments: